RINGKASAN METODOLOGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
KURSUS BAHASA ARAB ELEKTIF I POLITEKNIK-POLITEKNIK

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA

 

1.      MUKADIMAH

Segala puji dan syukur kepada Allah s.w.t. serta selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah s.a.w. dan para ahli keluarganya.

Merujuk kepada ketetapan yang telah dibuat oleh Jabatan Pengajian Am dan Unit Latihan & Pendidikan Lanjutan, Politeknik Kota Melaka serta Bahagian Latihan dan Kerjaya, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, maka dengan ini kami ALC Arabic Language & Consultancy menyediakan Modul Kursus Bahasa Arab Komunikasi 1 sebagai salah satu kursus elektif di Politeknik Malaysia. Kursus ini akan ditawarkan kepada semua pelajar.

Modul ini telah dibina berasaskan kepada pendekatan Bahasa Arab Mikro yang mengambil kira kedua-dua aspek “bentuk” dan “makna” sesuatu kata. Ia adalah asas yang kukuh untuk proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab di Malaysia sebagai bahasa kedua. Pada dasarnya pendekatan mikro adalah suatu kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab secara saintifik berpandukan prinsip-prinsip linguistik yang akan membantu para pelajar menghayati sesuatu bahasa yang diajar secara lebih dekat dengan kehendak konteks dan ciri-ciri budaya yang diperlukan.

 

2.      OBJEKTIF AM

Objektif Am modul ini ialah membantu para pelajar menguasai kemahiran mendengar dan bertutur dalam bahasa Arab yang mudah tentang kehidupan seharian mereka di sekitar  kampus. Manakala kemahiran membaca dan menulis pula disasarkan sebagai kemahiran sokongan kepada kemahiran mendengar dan menulis. Pada asasnya ia berfungsi sebagai laluan awal kepada para pelajar yang berminat untuk mendalami bahasa Arab dalam bidang perdagangan, pelancongan dan teknologi.

 

3.      OBJEKTIF KHAS

Objektif-objektif khas yang ingin dicapai melalui modul ini ialah ;-

i-        Mampu mendengar dengan baik bunyi-bunyi bahasa Arab, perkataan dan ayat-ayat mudah serta dapat memahaminya.

ii-      Dapat menyebut bunyi huruf, perkataan dan ayat dengan sebutan yang betul.

iii-    Boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab mudah tentang diri, kehidupan dan pengajian mereka.

iv-    Dapat membaca dan menulis perkataan-perkataan Arab serta ayat-ayat mudah dengan betul.

4.      KANDUNGAN

Modul semester pertama ini adalah suatu proses pembelajaran dan pengajaran langsung yang meliputi tajuk-tajuk berikut:

i-        Arahan pengajaran dan pembelajaran

ii-      Pengenalan diri dan pengenalan kepada bahasa

iii-     Tarikh, hari, bulan dan tahun

iv-    Masa

v-      Keluarga dan peralatan rumah

vi-    Warna dan angka

vii-  Profesyen, Negara dan kewarganegaraan.

 

5.      KEMAHIRAN BAHASA

Modul ini memberi keutamaan kepada melatih kemahiran mendengar, bertutur dan bercakap dalam bahasa Arab dikalangan pelajar Politeknik-Politeknik Malaysia. Manakala kemahiran membaca dan menulis hanya diajar sebagai kemahiran sokongan sahaja dalam semester pertama. Oleh itu, kemahiran mendengar, bertutur dan menulis akan diajar secara intensif dalam kelas-kelas pengajian dan kemahiran membaca serta menulis pula diterapkan dalam set latihan sebagai kerja rumah atau tugasan luar kelas dibawah seliaan guru yang bertugas.

6.      SISTEM BAHASA

Modul ini berpaksikan tiga sistem bahasa berikut:

i-        Aspek fonetik dan fonologi: ia menekankan proses ujaran yang betul bunyi-bunyi bahasa Arab serta mengenali organ artikulasinya.

ii-      Aspek morfologi: iaitu mengenali bentuk dan makna golongan kata bahasa Arab serta format-format pembentukan dan pengolahannya ketika bersambung dengan sesuatu ganti nama atau kata kerja.

iii-    Aspek sintaksis: iaitu memahami bentuk perkaitan makna (teori isnad) dan peranannya dalam menyusun ayat.

 

7.      PERBENDAHARAAN KATA

Modul ini memberi keutamaan kepada perbendaharaan kata yang berkait dengan konteks lazim kehidupan pelajar  Politeknik- Politeknik Malaysia. Tajuk-tajuk pengajian yang dipilih ialah:

i-        Kampus Politeknik

ii-       Keperluan atau peralatan pelajar

iii-    Berkenalan

iv-    Perbualan

v-      Aktiviti harian

vi-    Masa

vii-  Nasihat dan panduan

viii-            Tarikh, hari, bulan dan tahun

ix-    Kerja kursus

x-      Ke Bandar

xi-    Sukan

xii-  Keluarga dan peralatan rumah

xiii-            Kerjaya , Negara dan kewarganegaraan.

xiv- Kesihatan.

8.      STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Berdasarkan kepada waktu yang telah ditetapkan (tiga jam pertembungan) strategi pengajaran dan pembelajaran dibahagikan kepada dua bahagian:

 

·        AKTIVITI DALAM KELAS

Iaitu proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan di dalam kelas oleh pensyarah dan pelajar . Ia berpusat kepada kemahiran mendengar, bertutur dan bercakap berpandukan kepada enam teks perbualan dalam setiap tajuk.

 

·        AKTIVITI DI LUAR KELAS

Iaitu tugasan-tugasan dan latihan-latihan pengembangan berkaitan yang perlu dilaksanakan oleh pelajar diluar kelas dibawah seliaan pensyarah. Para pensyarah perlu memantau perkembangan setiap pelajar berpandukan format latihan tersebut.

 

9.      METODOLOGI PENGAJARAN

Secara umum proses pengajaran dan pembelajaran untuk kemahiran mendengar  dan bertutur hendaklah diajar melalui langkah-langkah berikut:

·        PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

i-        Set induksi

ii-      Pelajar mendengar bacaan teks tanpa membuka buku.

iii-    Pelajar mendengar bacaan teks dengan melihat buku / slide

iv-    Pelajar mengulang apa yang dibaca oleh pensyarah

v-      Pensyarah bertindak sebagai pihak penutur (A) dan pelajar bertindak sebagai penutur (B) dalam melakonkan keratan dialog berkenan.

vi-    Pensyarah bertindak sebagai penutur (B) dan pelajar bertindak sebagai penutur (A) dalam melakonkan keratan dialog berkenaan.

vii-  Keratan dialog berkenaan dilakonkan di antara pelajar dalam dua kumpulan yang besar. Kedua-duanya akan mewakili penutur (A) dan (B) dan sebaliknya.

viii-                        Dialog seterusnya akan dilakukan secara berpasangan diantara dua orang pelajar secara serentak. Kedua-duanya akan mewakili penutur (A) dan (B) dan sebaliknya.

 

·        PENGUKUHAN DAN PENGEMBANGAN

ix-    Pensyarah berdialog dengan pelajar tanpa melihat teks perbualan.

x-      Pelajar berdialog sesama mereka tanpa melihat teks perbualan.

 

Untuk kemahiran membaca dan menulis pensyarah perlu membantu dan memandu pelajar melaksanakan latihan-latihan yang telah disediakan dalam helaian tugasan mereka. Butiran lanjut format tugasan dan latihan setiap tajuk pelajaran dilampirkan (dalam bahasa Arab).

 

10.  PENUTUP

Pihak ALC Arabic Language and Consultancy berharap modul ini dapat dilaksanakan dengan betul demi mencapai objektif yang telah ditetapkan.