![]() |
Kata-Kata Aluan Pengurus Bahagian Akademik dan Perundingan ALC Arabic Language & Consultancy |
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Segala puji dan syukur kepada Allah SWT yang telah memilih bahasa Arab sebagai bahasa rasmi al-Quran al-Karim. Selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW dan para sahabat serta para tabiin.
Pada kesempatan ini, pihak ALC Arabic Language & Consultancy (ALC) mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan luahan penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang telah memberi kepercayaan untuk membangunkan modul ini. Tidak lupa juga ucapan penghargaan ditujukan kepada Politeknik Kota Melaka yang telah berusaha gigih selaku urusetia dalam menjayakan penghasilan modul ini serta para pensyarah Pendidikan Islam yang terlibat dari seluruh politeknik Malaysia.
Perlu juga dinyatakan bahawa modul ini telah dibangunkan berasaskan konsep BAHASA ARAB MIKRO yang memberi penekanan kepada aplikasi fungsi bahasa dalam konteks penggunaan sebenar para pelajar politeknik-politeknik di Malaysia. Modul pertama ini memberi penekanan kepada kemahiran mendengar dan bertutur sebagai aktiviti utama proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam kelas. Manakala kemahiran membaca (memaham) dan menulis pula diolah dalam bentuk tugasan luar kelas sebagai aktiviti susulan.
Secara keseluruhan ini, modul ini bertujuan membawa pelajar memahami dan menghayati asas utama bahasa Arab Mikro melalui pendekatan saintifik. Ganti Nama dan Acuan Kata 14 adalah paksi utama kepada modus operandi P&P setiap tajuk yang disenaraikan dalam modul ini. TEORI ISNAD dan SISTEM AYAT 10 adalah landasan utama kepada proses membina ayat-ayat mudah bahasa Arab sama ada untuk tujuan komunikasi lisan atau bertulis. Ia adalah terapan amali kepada penemuan kajian ALC pada tahun 2005.
ALC berkeyakinan penuh bahawa berdasarkan kepada kaedah P&P yang telah diperkenalkan dan dipersetujui bersama para pensyarah Politeknik Malaysia dalam Bengkel Metodologi Pengajaran dan Pembelajaran yang diadakan, modul ini dapat menarik minat para pelajar dan mudah untuk dilaksanakan. Semoga Allah SWT merestui niat murni ini.

Sekian, terima kasih.
……………………………………………………..
Dr. Mohd Rosdi bin Ismail
Pengurus Bahagian Akademik & Perundingan ALC