Muka Hadapan, Utusan Online 6 Jun 2006

Kuasai bahasa Arab jika mahu ke Universiti

http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0606&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_08.htm

Daripada AINOL AMRIZ ISMAIL

KAHERAH 5 Jun - Hanya lima daripada 169 orang pelajar dari Negeri Sembilan yang mengikuti pelbagai kursus di Universiti Al-Azhar dan dan Universiti Kaherah di sini dikenal pasti mampu meneruskan pengajian tanpa mengulang sehingga tamat pengajian. Pegawai Khas Kebajikan Pelajar Negeri Sembilan, Abdul Malik Kahar berkata, selebihnya, para pelajar berkenaan, terutama yang baru masuk dalam tahun satu terpaksa mengulangi pelajaran mereka kerana gagal menguasai bahasa Arab dengan baik.

“Jangan pandang remeh soal ini. Sebab itulah, saya nasihatkan kepada mana-mana pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar dipastikan menguasai sepenuhnya bahasa Arab, sekurang-kurangnya enam bulan sebelum ke sini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat rombongan Kerajaan Negeri Sembilan di Rumah Negeri Sembilan di sini, hari ini. Abdul Malik bagaimanapun menjelaskan, selain faktor dan pengaruh bahasa Arab, sistem pembelajaran yang agak luar biasa juga menjadi punca kegagalan pelajar-pelajar berkenaan yang antaranya tidak dapat dielakkan.

“Pensyarah mereka juga menggunakan Bahasa Arab rasmi (Fushah) dan juga Bahasa Arab pasar (Ammi) dan kepada mereka yang tidak biasa ia satu kesukaran. “Contoh lain pula ialah ada yang dijadualkan mengambil peperiksaan pada waktu petang tetapi diubah pada saat-saat akhir. Ini menyebabkan ada yang gagal mengambil peperiksaan seterusnya gagal dalam kertas berkenaan. “Ada juga yang terpaksa mengambil peperiksaan di bawah khemah. Kalau hujan, atau panas terik, apa nak buat. Semua ini juga mempengaruhi keputusan pelajaran anak- anak kita di Universiti Al-Azhar ini,'' katanya.

Abdul Malik memberitahu, pelajar yang mahu mengikuti pengajian di mana-mana universiti di sini perlu juga melengkapkan diri dengan kedua-dua dialek Bahasa Arab jika tidak mahu menghadapi kesukaran kelak.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan negeri melalui MAINS yang menjadi penaja kepada pelajar terbabit mengikuti kursus intensif selama enam bulan sebelum dihantar ke sini.

Kata Abdul Malik, kursus itu perlu dikendalikan oleh pensyarah yang memahami selok belok bahasa dan berasal dari negara Mesir bagi memberikan kefahaman yang lebih kepada bakal mahasiswa.